mutakhir

PDRM sedia beri kerjasama

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah membabitkan seorang pegawai dan lapan anggota Unit Tindakan Marin (Ungerin) yang ditahan pada 28 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya turut memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes itu akan dijalankan secara telus dan teliti tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Kami sedia maklum mengenai laporan Buletin Utama dan keratan akhbar Harian Metro sebelum ini yang melaporkan mengenai penahanan seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan serta lapan anggota berpangkat Koperal hingga Sarjan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) oleh SPRM Pahang.

“PDRM berpendirian tegas dan sentiasa komited dalam mengekang sebarang perlakuan jenayah membabitkan penyeludupan rokok dan barangan tanpa cukai khususnya di perairan negara selari dengan motto PPM ‘tiada hari tanpa keberhasilan’.

“Bagaimanapun, PPM tidak menolak dakwaan segelintir pegawai atau anggota terbabit dalam isu salah laku serta rasuah.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan, kod etika dan melanggar undang-undang negara yang mencalarkan imej serta nama naik PPM khususnya PDRM,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Acryl Sani berkata, satu siasatan selari juga akan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap salah laku pegawai dan anggota terbabit.

“Sekiranya wujud unsur tohmahan atau apa-apa agenda yang berniat tidak baik untuk mencemarkan nama baik PPM sekali gus mencalar imej PDRM, maka laporan polis akan dibuat dan siasatan rapi dijalankan.

“Semua pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan diingatkan supaya memberi penekanan kepada fokus utama Ketua Polis Negara bagi meningkatkan integriti serta akauntabiliti dalam penugasan.

“Pada masa sama, PPM akan kekal komited dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan yang merugikan negara,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kejayaan terbesar PPM Bukit Aman pada Jun tahun lalu menumpaskan sindiket penyeludupan rokok murah dan arak bernilai RM4.868 juta tercemar dengan penahanan sembilan anggota Ungerin oleh SPRM Pahang.

Pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan lapan anggota berpangkat sarjan serta koperal itu ditahan SPRM di Pangkalan PPM Port Klang.

Berita berkaitan:

  • Memalukan!
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 10:33pm
    d