mutakhir

Tak jadi curi lembu...

Oleh Shahrinnahar Latib

NIAT untuk melarikan tiga lembu di FELDA Chini, Pekan tidak kesampaian selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan mengalami kerosakan.

Difahamkan, suspek menggunakan ubat pelali terhadap lembu berkenaan, namun dipercayai tidak sempat melarikan haiwan itu akibat kerosakan di tayar.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, Balai Polis Chini menerima maklumat daripada orang awam pada 7.35 pagi.

“Anggota polis kemudian bergegas ke tempat kejadian di Jalan Kilang A, FELDA Chini 3 dan dapati Honda Odyssey hitam ditinggalkan tanpa pemandu dan pemilik.

“Pemantauan yang dijalankan ke atas kenderaan ini dibuat selama hampir 30 minit namun tiada sesiapa yang hadir,” katanya dalam kenyataan di Pekan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis membuat pemeriksaan dan mendapati ia tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Pemeriksaan pada dalam kenderaan itu mendapati terdapat tiga lembu dalam keadaan lemah dipercayai dibius.

“Seorang penduduk mengaku sebagai pemilik lembu berkenaan sebelum pihak polis menyerahkan kepadanya untuk membolehkan pemilik merujuk ke pihak veterinar untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan tidak dapat dijalankan dan dipercayai kereta itu dari Singapura,” katanya.

Beliau berkata, MPV itu sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk siasatan selanjutnya.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 1:25pm
d