mutakhir

Maut 'dihempap' tayar lori tercabut

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PEJALAN kaki maut selepas terkena tayar lori tangki yang tercabut dalam kejadian di Kilometer 9, Jalan Lahad Datu - Sandakan, berdekatan Kampung Tamoi, di Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, mangsa berusia 64 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, lori tangki membawa muatan minyak sawit itu dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju Lahad Datu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar kiri (lori) pada bahagian tengah tercabut. Tayar itu kemudiannya terkena mangsa yang sedang berjalan di bahu jalan raya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Mayatnya di hantar ke bilik mayat Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, susulan kejadian pihaknya menahan pemandu lori berusia 42 tahun yang juga warga Indonesia di lokasi kemalangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu. Ujian air kencing dilakukan terhadap pemandu terbabit negatif dadah. Bagaimanapun, darah lelaki itu diambil untuk ujian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 4:24pm
d