mutakhir

Pakatan untuk apa? - Anwar

Oleh Mohd Amin Jalil

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan niat sebenar dakwaan UMNO akan menubuhkan pakatan baharu iaitu Pakatan Nasional, yang turut membabitkan PAS dan Bersatu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, walaupun tidak menghalang mana-mana pihak menubuhkan apa juga pakatan, beliau mempersoalkan tujuan pakatan itu.

“Saya tiada halangan untuk orang buat pakatan, tapi masalahnya untuk apa dan ada dakwaan ia ditaja beberapa orang dengan tujuan selamatkan orang Melayu.

“Tapi mereka (UMNO) sudah 62 tahun memerintah. Mereka pun (pemimpin UMNO) sedang menghadapi kes serius di mahkamah berkaitan soal rasuah.

“Sepatutnya dia hadapi yang itu dululah (mahkamah)... jangan anggap kalau dia nampak baik, hal ini (rasuah) ditutup dan diselesaikan begitu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Reformis ‘98 dan perasmian pejabat Penerangan PKR Negeri Sembilan, di Taman Kemuning, Senawang, Seremban, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta kepemimpinan PH negeri.

Anwar turut menafikan ada dalam kalangan pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR sendiri akan mengikut jejak mereka dalam pakatan berkenaan.

Beliau berkata, dakwaan beberapa tokoh pemimpin PH akan bersama dalam pakatan itu adalah tidak benar dan menyifatkan perkara itu sebagai propaganda pembangkang.

“Ada dakwaan bahawa enam (tak pasti) daripada Amanah dan 15 daripada PKR, kita sudah semak ia tidak benar dan perkiraan itu adalah meleset.

“Malah, mereka (pembangkang) ada kaitkan dengan Bersatu dan Tun Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad), sedangkan perkara ini tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat PH,” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar dengan tegas menyatakan PH adalah pakatan yang jelas memperjuangkan semua kaum di negara.

“Agenda kita (PH) jelas dan yakin bahawa kerjasama ini akan membela nasib Melayu, Cina, India, Kadazan dan seluruhnya,” tegasnya.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 5:54pm
d