mutakhir

Pokok hiasan dirampas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POKOK hiasan seberat 9,596 kilogram (kg) yang diimport dari China dirampas di Pelabuhan Klang Barat, Selangor, 23 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, ketika pemeriksaan rutin di pintu masuk berkenaan, pihaknya menahan sebuah kontena muatan pokok hiasan kerana tidak mematuhi syarat permit import yang ditetapkan.

“Ia ditahan atas kesalahan tidak mematuhi syarat import permit yang ditetapkan.

“Pokok hiasan itu dianggarkan seberat 9,596 kg dengan nilai dagangan dianggarkan berjumlah RM87,708,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS sentiasa teliti dan cekap ketika menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

“Ia bagi memastikan setiap keluaran pertanian berkenaan tiada perosak, penyakit, bahan cemar dan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 12:09pm
d