mutakhir

Doktor, penolong akauntan didakwa

Oleh Mohamed Farid Noh

PEGAWAI kesihatan daerah dan penolong akauntan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas 49 pertuduhan bersubahat mengemukakan baucar tuntutan palsu berjumlah RM807,816.27, antara 2015 dan 2016.

Tertuduh, Dr Zaharah Mohd Salleh, 59, yang juga Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah Ledang dan penolong akauntan, Noor Shazriena Miskam, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Dr Zaharah dituduh mengemukakan baucar bayaran palsu berjumlah RM807,816.27 kepada Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu bayaran pembekalan barangan membabitkan lima syarikat yang dalam pengetahuan beliau ia adalah tuntutan palsu dan barangan itu tidak dibekalkan.

Noor Shazriena pula dituduh bersubahat bersama Dr Zaharah mengemukakan baucar bayaran palsu berjumlah RM807,816.27 kepada KKM iaitu bayaran pembekalan barangan membabitkan lima syarikat yang dalam pengetahuannya adalah tuntutan palsu dan barangan itu tidak dibekalkan.

Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Kesihatan Ledang, Segamat antara Mac 2015 sehingga November 2016.

Dr Zaharah didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala Noor Shazriena pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta yang sama.

Kedua-duanya, berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun menawarkan jaminan RM100,000 seorang kepada kedua-dua tertuduh.

Namun, peguam Dr Zaharah, Gan Seong Kim, memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah berikutan dia disahkan menghidap kanser kolon sejak Mac tahun lalu menyebabkannya uzur dan kini terpaksa berkerusi roda di samping masih menjalani rawatan kimoterapi.

Sementara, peguam Noor Shazriena, Siti Haslina Hasbullah, turut memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya menanggung lima anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian memerintahkan jaminan sebanyak RM50,000 terhadap Dr Zaharah manakala Noor Shazriena, diperintah membayar RM60,000 wang jaminan, masing-masing dengan seorang penjamin.

Hakim turut memerintahkan kedua-dua pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan kedua kes berkenaan ditetapkan pada 15 Mac depan.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 12:55pm
d