mutakhir

'Alhamdulillah, dapat mengucap semula'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TANGISAN 45 penduduk Kampung Psa Kraw, Siem Reap, Kemboja minggu lalu bukan kerana meratapi nasib yang hidup dalam serba kekurangan.

Namun, ia adalah perasaan gembira kerana dapat kembali mengucap kalimah syahadah dan belajar selok belok agama.

Kebanyakan mereka yang mengamalkan kehidupan dengan cara sendiri walaupun beragama Islam sejak puluhan tahun lalu, kini kembali menghayati Islam menerusi usaha Yayasan Jamin yang akan membangunkan sebuah pusat Islam di sana.

Pengerusinya Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya tersentuh melihat kehidupan masyarakat Islam di beberapa perkampungan di sana selepas melakukan tinjauan sejak dua tahun lalu.

Katanya, ia bermula selepas beberapa pelajar pusat tahfiz yang ditajanya menamatkan pengajian dan ingin pulang berbakti di kampung halaman berkongsi keadaan masyarakat di sana yang dahagakan ilmu agama.

“Bila melihat sendiri keadaan di sana, saya rasa sayu dan sedih kerana memikirkan apa yang boleh dibuat untuk membantu saudara seagama kita, apatah lagi dalam keadaan mereka tidak ada pilihan lain.

“Penduduk kampung sendiri yang meminta sukarelawan kami mengajar agama kepada mereka. Selama ini mereka tidak tahu solat, baca al-Quran dan amalan lain.

“Menerusi perkongsian bersama beberapa rakan, ada yang dalam bidang profesional, baru saya faham kita bertanggungjawab untuk menjalankan kerja untuk ummah ini walaupun mereka bukan di negara kita,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, Sohaimi berkata, pihaknya akan membangunkan Pusat Islam Antarabangsa Jamin (JIIC) untuk memberi kemudahan kepada penduduk belajar agama dan keusahawanan untuk kegiatan ekonomi setempat.

Katanya, JIIC juga akan menempatkan tenaga pengajar dengan elaun bulanan bagi memastikan mereka dapat menimba ilmu secara berterusan dan mengembangkan syiar Islam di kawasan itu pada masa depan.

Ditanya mengenai dirinya yang tidak lagi aktif politik, beliau yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, dia kini banyak menumpukan kepada kerja dakwah dengan cara sendiri dan hanya mengikuti perkembangan politik menerusi rakan-rakan.

“Saya masih ada, cuma di belakang tabir. Berilah peluang kepada mereka yang ingin berkhidmat.

“Buat masa ini saya dan rakan-rakan mengaktifkan Dakwah Sama-Sama menerusi Facebook, kita kongsi hadis, kata-kata nasihat dan panduan untuk orang ramai.

“Sasaran kita untuk dapat seramai mungkin pengikut supaya usaha dakwah ini dapat disuburkan,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 1:20pm
d