mutakhir

Ajal ditimpa rak besi

Oleh Nor Farhani Che Ad

WANITA warga emas maut selepas dihempap rak besi di sebuah bengkel kereta di Taman Desa Impian, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa dikenali sebagai Cheng Lean, 82, beralamat di Bagan Ajam, Pulau Pinang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 11.26 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi didapati terdapat seorang wanita dihempap oleh sebuah rak besi kosong setinggi 1.5 meter di tepi sebuah bengkel.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya mengangkat rak berkenaan bagi mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 3:13pm
d