mutakhir

7 'samseng' sekolah ditahan

Oleh Juwan Riduan

TUJUH pelajar lelaki ditahan polis, kelmarin selepas disyaki memukul rakan sekolah mereka di Taman Nelly, di Kota Kinabalu.

Semua suspek yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Kota Kinabalu itu ditahan di hadapan sekolah berkenaan, 10.25 pagi.

Difahamkan, selain penularan video insiden berkenaan di media sosial, polis turut menerima laporan yang dibuat mangsa berusia 15 tahun sehari selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua suspek di bawa ke Balai Polis Karamunsing, di Kota Kinabalu, untuk siasatan lanjut.

“Motif serangan masih belum dapat dipastikan setakat ini kerana mangsa menyatakan tidak mempunyai sebarang masalah dengan kumpulan yang menyerangnya.

“Akibat kejadian itu, mangsa bengkak di belakang kepala dan tengkuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Pada 6 Februari lalu, satu rakaman video berdurasi 49 saat memaparkan sekumpulan pelajar membelasah rakan mereka menggunakan kayu tular di media sosial.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 4:10pm
d