mutakhir

Rayu kaji catuan air hujung minggu

Oleh Hassan Omar

SEGELINTIR pengusaha pusat pelancongan merayu kerajaan negeri mengkaji semula catuan bekalan air pada hujung minggu yang bakal dilaksanakan dalam fasa kedua, mulai esok.

Tinjauan di beberapa pusat peranginan Pantai Barat Melaka dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, Alor Gajah mendapati mereka mahu catuan air tidak dilaksanakan pada Sabtu atau Ahad.

Sebaliknya, mereka merayu Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) terus membekalkan air pada kedua-dua hari berkenaan kerana kebanyakan tetamu mendaftar masuk pada petang Jumaat memerlukan air pada Sabtu dan Ahad.

Pengusaha chalet di pantai Pengkalan Balak dikenali sebagai Wan berkata, catuan itu perlu dikecualikan kerana Sabtu dan Ahad adalah hari tumpuan tetamu terutama dari Johor dan Kuala Lumpur.

Pengusaha berusia 40-an itu berkata, pelancong dari Johor mendaftar masuk pada petang Jumaat sebelum mendaftar keluar pada petang Sabtu, manakala pelancong dari Kuala Lumpur berbuat demikian pada Sabtu dan Ahad.

“Saya terpaksa membelanjakan RM4,000 untuk membeli tiga tangki air semalam yang setiap satu mampu menakung 600 liter air berikutan pengumuman kerajaan negeri akan melaksanakan catuan air fasa kedua mulai Isnin.

“Satu tangki bernilai RM700 dan ia tidak termasuk pam automatik, paip ke 15 bilik chalet dan upah tukang paip memasang paip berkenaan,” katanya.

Kelmarin Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, catuan air fasa kedua di seluruh negeri ini dilaksanakan mulai 10 hingga 29 Februari depan.

Ia akan membabitkan kawasan perindustrian dan pusat pelancongan berbanding catuan fasa pertama dari 29 Januari lalu hingga hari ini yang mengecualikannya.

Bagaimanapun, hospital dan klinik tetap dikecualikan daripada catuan berkenaan bagi memastikan pesakit menerima bekalan air dan pelbagai kerja yang ada kaitan dengan penggunaan air, tidak terjejas.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 4:44pm
d