mutakhir

Maut motosikal terjunam ke tali air

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PERJALANAN buruh bersama anak lelakinya ke tempat kerja berakhir tragedi apabila motosikal dinaiki terjunam ke tali air di Kampung Jenerih Bongkok, Pulai Chondong, Machang, hari ini.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa, Mazelan Ibrahim, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat lemas, manakala anaknya berusia 24 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Yamaha RXZ ditunggang mangsa gagal dikawal sebelum terjunam ke dalam tali air.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anak mangsa menyedari motosikal yang ditunggang bapanya seakan hilang kawalan sebelum mereka terbabas ke dalam tali air sedalam 1.52 meter (m).

“Mangsa diangkat ke tebing oleh anaknya dan diserahkan kepada polis untuk dihantar Hospital Machang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bedah siasat mengesahkan kematian mangsa akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, jiran mangsa, Wan Salmi Wan Salleh, 50, berkata dua hari sebelum ini, arwah datang ke rumah pada 3 pagi untuk meminta bantuan menghantarnya ke klinik berhampiran kerana tidak sihat.

“Bagaimanapun, saya agak terkejut apabila penduduk kampung menghubungi bagi memaklumkan arwah terjatuh ke dalam terusan dan meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merabang, Pulai Chondong, hari ini.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 7:14pm
d