mutakhir

Empangan baru selesaikan isu air Melaka

Oleh Hassan Omar

PROJEK Empangan Jerneh bernilai hampir RM200 juta yang dicadangkan dibina di Lubok Cina, Melaka, tidak lama lagi mampu menampung 13,000 juta liter air sekaligus dapat mengatasi masalah kekurangan sumber bekalan air di negeri ini.

Empangan baru ini tidak hanya mampu menampung keperluan penduduk Melaka bagi tempoh 10 tahun akan datang, malah mengurangkan kebergantungan negeri ini kepada bekalan air dari Johor.

Sumber berkata, keperluan air mentah di negeri ini menjelang 2030 dijangka jauh melebihi keperluan 665 juta liter sehari berdasarkan pertambahan penduduk berikutan pertumbuhan sektor perindustrian, perkhidmatan dan beberapa sektor ekonomi yang lain pada masa akan datang.

"Empangan Jerneh dibina berasaskan konsep 'Off River Dam,' iaitu air tidak dialirkan dari sungai dan anak sungai ke empangan, sebaliknya air diperoleh dari Sungai Rembau di Negeri Sembilan dengan 'gross yield' 100 juta liter sehari," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, kerajaan negeri memerlukan RM36 juta sebagai peruntukan tambahan kepada RM163 juta yang diluluskan kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek berkenaan yang mampu mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.

Katanya, peruntukan awal RM163 juta diluluskan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli tidak mencukupi bagi meneruskan projek yang tertangguh sejak dua tahun lalu itu dan setakat ini, RM73 juta sudah dibelanjakan bagi pampasan pengambilan tanah.

Beliau berkata, sekarang kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan bagi memuktamadkan tender, selain menyelesaikan beberapa isu, termasuk persempadanan dengan kerajaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Jerneh, Jaafar Atan, 57, berkata, perbincangan antara pelbagai agensi kerajaan dengan anggota komuniti kampung itu mengenai projek berkenaan dimulakan sejak 2008 dan pada awalnya ia membabitkan pengambilan tanah kebun dan lebih 100 rumah.

Bagaimanapun, hasil perbincangan lanjut, kedua-dua pihak bersetuju memindahkan cadangan pembinaan empangan itu ke 187 lot tanah yang membabitkan ladang getah dan kelapa sawit peneroka FELCRA Ramuan Cina Kecil yang berjiran dengan kampung berkenaan, selain sebahagian kecil kebun penduduk Kampung Sungai Jerneh.

"Kawasan yang dicadangkan untuk projek empangan itu mempunyai banyak sumber air mata air dan insya-Allah kampung kami tidak akan ditenggelamkan dalam empangan itu kerana projek itu jauh dari kawasan kediaman penduduk," katanya.

-ends-

Pix 1 dan 2: Jaafar Atan menunjukkan sumber air mata air yang membentuk lopak di kebanyakan kawasan dicadangkan untuk projek Empangan Jerneh di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah.

Pix 3 dan 4: Jaafar Atan menunjukkan Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina dekat Alor Gajah yang terbentuk di tengah lembah.

Pix 5-8: Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina dekat Alor Gajah pada mulanya dicadangkan untuk projek Empangan Jerneh berdasarkan lokasinya tengah lembah.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 2:36pm
d