mutakhir

Kenapa kejam sangat?

Oleh Mohd Khidir Zakaria

POLIS berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai memukul seekor anjing menggunakan kayu selepas insiden itu tular di laman sosial dan Aplikasi WhatsApp sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima aduan seorang lelaki berusia 23 tahun berhubung tindakan sekumpulan lelaki membuat kacau dan memukul anjing peliharaannya di Jalan Kota Lukut semalam.

“Ekoran kejadian itu, satu video berdurasi lebih kurang lima saat, yang dimuatnaik dalam laman sosial menampakkan susuk tubuh seorang lelaki memukul anjing yang sudah diikat dengan menggunakan sebatang kayu.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 10 malam tadi, sepasukan Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson membuat tangkapan terhadap suspek dan merampas sebatang kayu yang sudah pecah dipercayai digunakan suspek untuk memukul haiwan peliharaan itu,” katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Katanya, suspek berusia 35 tahun, berasal dari Lukut, Port Dickson dan tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson dan dibenarkan untuk ditahan reman selama dua hari sehingga 11 Februari (esok) untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas haiwan,” katanya.

Aidi Sham berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 2:44pm
d