mutakhir

Adik pinjam along, keluarga jadi mangsa

Oleh Mary Victoria Dass

"SAYA sanggup memutuskan hubungan adik-beradik kerana dia menyebabkan hidup kami tidak tenteram apabila membuat pinjaman daripada ceti haram tanpa pengetahuan keluarga," kata Lai Poh Yoke, 46.

Lai berkata, dia tidak sangka adik perempuannya dikenali sebagai Mui, 40, yang bekerja dan tinggal di Singapura terjebak dengan pinjaman ceti haram.

Menurutnya, perbuatannya terbongkar apabila rumah keluarganya di Taman Bukit Mewah, Tampoi di Johor Bahru ‘diserang’ ceti haram.

"Sudah dua kali kediaman kami diancam termasuk disimbah cat berwarna kuning dan merah selain ditampal notis amaran pada pertengahan Disember. Pada 22 Januari lalu, terdapat kesan terbakar di hadapan rumah dipercayai juga angkara ceti haram," katanya.

Lai berkata, dia turut dihubungi beberapa lelaki tidak dikenali mendakwa sebagai penuntut hutang.

Menurutnya, dia difahamkan adik perempuannya yang bekerja sebagai pembantu restoran membuat pinjaman sejumlah SGD35,000 (RM104,009) di negara republik itu bagi kegunaan peribadi.

Katanya, bagaimanapun pada awalnya perkara itu dinafikan adiknya ketika dihubungi.

"Sejak pertengahan Januari lalu adik gagal dihubungi dan terus menyepi hingga mengakibatkan kami menjadi mangsa. Akibat kesan simbahan cat di kereta dan bahagian hadapan rumah, kami menanggung kerugian RM5,000.

"Saya semakin khuatir dengan keselamatan ahli keluarga. Saya hanya berniaga menjual makanan dan pendapatan bulanan kira-kira RM1,500. Tidak mungkin mampu membayar balik pinjaman adik," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kempas, 21 Januari lalu.

Lai berkata, dia memiliki seorang anak berusia 20 tahun selain turut menyara lima anak Mui berusia 12 tahun hingga 22 tahun.

Menurutnya, dia berharap keluarganya bebas daripada ancaman ceti haram dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Adik seharusnya bertanggungjawab atas pinjaman berkenaan dan harap dia menyelesaikan masalah yang timbul," katanya ketika ditemui di Pejabat Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon di Johor Bahru, hari ini.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 3:44pm
d