mutakhir

Babi hutan 'jajah' kawasan penduduk

Oleh Mohd Amin Jalil

PENDUDUK di Taman Desa Orkid, Senawang resah susulan kehadiran sekumpulan lebih 30 ekor babi hutan yang kerap menceroboh kawasan itu sejak lima tahun lalu.

Kemunculan kumpulan babi hutan itu dari kawasan hutan berdekatan berpunca daripada isu pembangunan perumahan sekali gus menjejaskan habitat haiwan liar berkenaan.

Penduduk, Yusri Yusof, 48, berkata, kehadiran babi hutan itu menyusahkan penduduk kerana haiwan itu bertindak memusnahkan tanaman sayur-sayuran di belakang rumah penghuni.

"Masalah ini berlanjutan sejak lebih lima tahun lalu tetapi sebelum ini kami tidak ambil peduli sangat kerana menjangkakan haiwan itu dalam kumpulan yang kecil.

"Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini kumpulan lebih 30 ekor babi hutan itu dilihat berkeliaran di kawasan belakang rumah hampir setiap hari bermula 6 petang.

"Selain menyelongkar tempat pembuangan sampah dan stor, babi hutan itu turut merosakkan tanaman penduduk.

"Semua tanaman itu tidak sempat membuahkan hasil kerana dimusnahkan kumpulan babi hutan terbabit sekali gus menyebabkan penduduk mengalami kerugian," katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abd Halim, 50, pula berkata, pihaknya bimbang dengan kehadiran babi hutan itu akan bertindak agresif terhadap kanak-kanak ketika mereka bermain di belakang rumah.

“Kami khuatir binatang itu bertindak agresif sekali gus menjejaskan keselamatan kanak-kanak terbabit.

"Haiwan itu dilihat sangat aktif pada waktu pagi dan petang terutamanya selepas hujan," katanya.

Menurutnya, penduduk memasang jerat di kawasan hutan sebagai langkah awal dan sehingga kini, sebanyak tiga ekor babi hutan sudah terjerat.

"Pagi tadi seekor lagi babi hutan terkena jerat dan kali ini antara babi hutan yang besar dengan berat dianggarkan mencecah 80 kilogram," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 4:03pm
d