mutakhir

Tampar, tendang, cekik pelajar [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS memanggil guru lelaki berusia 30-an bagi mengambil keterangan berhubung kes menampar, menendang dan mencekik pelajar lelaki berusia 16 tahun di sebuah sekolah berasrama di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan dilakukan selepas kes itu ditular di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 1 Februari lalu di asrama sekolah terbabit pada 11 malam.

“Kita panggil guru terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes.

“Pelajar terbabit dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejurus selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Mohd Rozi berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat masalah dalaman yang membuatkan guru terbabit marah dan bertindak demikian.

Namun katanya, siasatan masih diteruskan dan pihaknya akan memanggil pelajar terbabit untuk memberi keterangan.

“Setakat ini kita sedang siasat apa yang sebenarnya berlaku sebab video itu baru tular.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan tanpa menggunakan senjata,” katanya.

Dalam video itu, guru lelaki terbabit dilihat menampar muka, menendang kaki dan mencekik leher pelajar terbabit di hadapan kumpulan pelajar di dalam sebuah dewan sekolah.

Video yang berdurasi 20 saat itu menunjukkan guru berkenaan marah dan mengeluarkan perkataan “betoi ka tak betoi?” serta “hang nak tunjuk samseng” di hadapan pelajar lain.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 5:34pm
d