mutakhir

Kejadian di Limbang bukan Klang

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menafikan video seekor buaya didakwa ditangkap anggota bomba dan penyelamat di Seri Muda, Klang.

Video berdurasi 3 minit 42 saat menunjukkan reptilia sepanjang empat meter itu tular di laman sosial dan ia didakwa berlaku di kawasan berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Limbang, Sarawak, tiga tahun lalu dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menangkap buaya itu.

Pengarah PERHILITAN Selangor Haidar Khan Mokbolhasan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu tidak berlaku di negeri ini.

“Setiap aduan dari orang awam, kita akan siasat terlebih dulu bagi memastikan ia berlaku di negeri ini atau sebaliknya.

“Tambahan pula, kita bekerjasama dengan masyarakat untuk kepentingan konservasi hidupan liar dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebarang aduan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian Hotline PERHILITAN di talian 1-800-88-5151.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 5:40pm
d