mutakhir

Tragedi menjala ikan

Oleh Juwan Riduan

AKTIVITI menjala ikan tiga sahabat berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas di sungai Kampung Inanam Laut, Inanam, di Kota Kinabalu, semalam.

Mayat, Mohd Zulfakar Mohd Suarin, 24, ditemui jam 3 petang oleh orang awam bersama pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.

Ketua BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.49 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa hilang ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di sungai berkenaan bersama dua rakannya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dilakukan bersama beberapa penduduk kampung.

“Mangsa akhirnya ditemui tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan SAR ditamatkan jam 3.36 petang.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 6:25pm
d