mutakhir

Barangan keperluan di Johor mencukupi

Oleh Mohamed Farid Noh

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memeriksa 1,124 premis perniagaan di negeri itu susulan langkah Singapura menaikkan amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) kepada jingga, Jumaat lalu.

KPDNHEP Johor dalam kenyataan hari ini berkata, agensi itu mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan kedudukan bekalan barang keperluan di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai mulai semalam secara berterusan.

“Ia berikutan penularan klip video memaparkan rakyat Singapura membuat pembelian panik barangan isi rumah sejak akhir-akhir ini berikutan amaran (DORSCON) tahap jingga dikeluarkan Singapura.

“Seramai 60 pegawai penguat kuasa terbabit secara khusus bagi melakukan pemeriksaan dan sasaran ke atas lokasi tumpuan warga Singapura berbelanja.

“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang keperluan seperti makanan dan keperluan asas, mencukupi,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP Johor akan memastikan bekalan barang keperluan tidak terputus dan dijual pada harga berpatutan.

“Pemeriksaan juga bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung dijual pada harga yang ditetapkan kerajaan.

“Sehingga kini bekalan barangan kawalan mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” kata kenyataan itu.

Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kekurangan bekalan atau kenaikan harga secara tidak munasabah kepada kementerian menerusi talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), Call Centre 1800 886 800 dan Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 7:23pm
d