mutakhir

Hazani gesa ESSCOM diperkukuh

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

KOMANDER Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali menggesa supaya struktur ESSCOM ditambah baik dengan penambahan beberapa agensi penguatkuasaan lain dalam pasukannya.

Menurutnya, masih wujud ancaman berterusan membabitkan kegiatan jenayah rentas sempadan dari negara jiran seperti culik untuk tebusan (KFR), penyeludupan senjata dan manusia serta pendatang asing tanpa izin (PATI).

“ESSCOM perlu dikekalkan selagi ancaman keselamatan dari negara jiran tidak dapat diatasi.

“Lima tahun lagi, Kalimantan akan dijadikan ibu kota Indonesia, maka akan timbul lagi masalah yang tak dapat kita jangkakan.

“Sebab itu saya nak cadangkan supaya ESSCOM dikekalkan selagi ancaman dari negara jiran tidak dapat kita ‘neutralise’ sepenuhnya,” katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan Bulanan ESSCOM di lahad Datu, pagi tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Timbalan Komander ESSCOM Briged Jeneral Hamzah Ali dan Ketua Staf Operasi Udara Briged Jeneral Ayub Khan Mohd Khan.

Menurutnya, dia mencadangkan supaya ESSCOM ditambah baik dengan penambahan jawatan membabitkan beberapa agensi lain dalam pasukannya seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini bagi mengukuhkan peranan ESSCOM dalam melaksanakan operasi membanteras jenayah di pantai timur sabah,” katanya.

Hazani berkata, hasil kajian dan pemerhatian dilakukan pihaknya, kegusaran akan berlaku kepada masyarakat setempat jika ESSCOM ditutup.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 10:14pm
d