mutakhir

56 menang tanpa bertanding

Oleh Baharom Bakar

SERAMAI 56 calon yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan pada pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri diisytihar menang tanpa bertanding (MTB).

Bagi bahagian BERSATU Marang, semua jawatan bermula daripada Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Bahagian serta Pengerusi dan timbalan pengerusi tetap tiada pertandingan selepas semua calon yang menawarkan diri diisytiharkan MTB.

Begitu juga dengan jawatan Ketua, Timbalan, Naib, Pengerusi dan timbalan pengerusi tetap Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) serta jawatan Srikandi di bahagian BERSATU Marang turut diisytihar MTB.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan BERSATU negeri, Datuk Aziz @ Ibrahim Awang berkata, kebanyakan calon yang MTB adalah untuk jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tetap.

Bagaimanapun, katanya, tiada calon yang menawarkan diri bertanding jawatan utama termasuk Ketua, Timbalan dan Naib ketua bahagian memenangi jawatan tanpa bertanding.

“Cuma BERSATU di bahagian Hulu Terengganu menyaksikan jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Ketua dan Naib Ketua bahagian MTB.

“Jawatan Naib Ketua dan Ketua serta naib ketua Srikandi di bahagian itu juga menyaksikan tiada pertandingan, ” katanya.

Aziz berkata, lima jawatan di BERSATU bahagian Kemaman termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Ketua bahagian diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Katanya, turut menang tanpa bertanding adalah sembilan jawatan di bahagian Kuala Nerus, Setiu (sembilan), Kuala Terengganu (tujuh), Dungun (empat) dan dua jawatan di bahagian Besut.

“Mesyuarat pemilihan BERSATU secara serentak membabitkan empat bahagian iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman ditetapkan Sabtu ini, manakala dua bahagian iaitu Setiu dan Hulu Terengganu ditetapkan pada Sabtu depan.

“Mesyuarat di bahagian Besut pada 29 Februari manakala di bahagian Dungun ditetapkan pada 14 Mac depan,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 10:19am
d