mutakhir

'Laut seolah-olah terbelah'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

FENOMENA air surut habis yang berlaku setiap tahun di Pulau Pangkor membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah hanya berjalan.

Fenomena itu hanya berlaku pada Februari dan musim perayaan Tahun Baru Cina, sekali gus menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar pulau peranginan itu.

Penduduk Pulau Pangkor, Mazwin Teh Abdul Rahman, 37, berkata, fenomena itu boleh digambarkan seperti laut terbelah sehingga menampakkan beting pasir.

Menurutnya, jarak dari pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam kira-kira 400 meter dan mengambil masa 10 hingga 15 minit berjalan.

“Tetapi tak semua hari akan surut sepenuhnya, hanya sehari saja yang surut habis. Pagi semalam air surut paras buku lali dan mengikut jadual air pasang surut, jam 12.02 tengah hari hari ini air akan surut sepenuhnya (0.0 meter).

“Biasanya air mula surut bermula 11 hingga 12 tengah hari dan kami akan pulang sebelum air mula pasang serta sentiasa berhati-hati,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Februari menjadi bulan yang ditunggu-tunggu penduduk setempat kerana fenomena itu hanya berlaku sekali saja dalam setahun pada bulan berkenaan.

“Memang ramai yang datang ke sini terutama pada hari cuti macam pesta di sini, tapi perlu rujuk jadual dahulu untuk periksa paras surut air.

“Fenomena ini juga beri kesempatan kepada penduduk mencari gamat di celahan batu karang, kadang-kadang boleh dapat lima kilogram gamat,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor, Nor Mazlan Mohd Salleh berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti laut.

Katanya, selain itu, orang ramai juga perlu memastikan air benar-benar surut serta berjalan dalam kumpulan di lokasi berkenaan.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 11:28am
d