mutakhir

Kantoi bayar makan guna wang palsu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TINDAKAN seorang lelaki membayar makanan menggunakan not kertas RM100 palsu di sebuah restoran di pusat beli belah di Kuala Lumpur membongkar kegiatan pemalsuan wang.

Lelaki berusia 36 tahun itu disyaki aktif melakukan jenayah pemalsuan wang itu tumpas selepas ditahan polis bersama tiga rakannya pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, lelaki itu makan di sebuah restoran dan membuat bayaran pada 2 petang Jumaat lalu.

“Juruwang yang menerima bayaran mengesyaki wang itu palsu lalu memaklumkan kepada pengurus restoran sebelum mereka melaporkannya kepada pengawal keselamatan pusat beli belah berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap lelaki itu kemudiannya menemui 28 keping lagi not kertas RM100 disyaki palsu lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Sepasukan polis yang ke lokasi kemudiannya menahan lelaki berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, penahanan lelaki itu membawa ke lokasi pencetakan wang di sebuah premis di Jalan Sultan Ismail pada 8.15 malam Sabtu lalu.

Menurutnya, ketika serbuan seorang lelaki berusia 22 tahun berada dalam premis dan pemeriksaan menemui pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, mesin pencetak, botol semburan cat serta beberapa peralatan disyaki digunakan untuk mencetak wang.

“Anggota polis turut menemui lebih 200 keping kertas bercetak RM100 dengan pelbagai nombor siri yang dipercayai palsu,” katanya.

Katanya, berjaya menahan dua lagi lelaki yang turut disyaki terbabit dalam kegiatan itu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 12:34pm
d