mutakhir

'Tokan' bergelut dengan polis

Oleh Juwan Riduan

CUBAAN seorang lelaki yang dipercayai ‘tokan’ dadah untuk melarikan diri hingga bergelut dengan anggota polis gagal apabila dia akhirnya ditahan di tepi jalan Kampung Cocos, Jalan Segama di Lahad Datu semalam.

Lelaki berusia 31 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ketika menjalankan Ops Ice Breaker di kawasan berkenaan pada 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek yang ditahan untuk pemeriksaan cuba melarikan dan berlaku pergelutan tetapi berjaya ditahan.

“Pemeriksaan polis terhadap beg silang yang dipakai oleh suspek menemui satu bekas aluminium berisi satu paket plastik lutsinar dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.34 gram.

“Polis turut merampas 13 gulung kertas timah, gunting dan satu penyedut minuman yang diubah suai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nasri berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 12:49pm
d