mutakhir

Padah ugut menteri

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PENGHANTAR surat didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar, hari ini atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang menteri melalui Facebook miliknya, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Noor Izwan Mohd Ibrahim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mahmoodah V M Abdul Latiff.

Tertuduh didakwa memuat naik kandungan berunsur jenayah menggunakan akaun Facebook ‘Izwan Ibrahim’ kerana hendak mendatangkan kematian kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada jam 2.30 petang, 13 Mac 2019 dan ugutan itu dibaca pada 27 Mac tahun sama di sebuah rumah di Taman Aman, Sabak Bernam.

Mohd Noor Izwan didakwa mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi ugutan menakutkan secara jenayah.

Sementara, jika ugutan hendak menyebabkan kematian, cedera parah, kebinasaan harta dengan api, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan kepada mahkamah supaya mengenakan jaminan sebanyak RM 5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Erni Ahmad memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM 1,500 berikutan ia adalah tahap kemampuan tertuduh dan keluarganya.

“Tertuduh bekerja sebagai penghantar surat dan menanggung isteri serta empat anak.

“Pendapatan kasarnya dan isteri sekitar RM 2,000 sebulan, maka kemampuannya untuk membayar jamin hanya RM 1,500,” katanya.

Mahkamah membenarkan Mohd Noor Izwan diikat jamin RM 3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 1:27pm
d