mutakhir

Ajal selepas cerita hal kemalangan

Oleh Syaherah Mustafa

BEBERAPA minit sebelum dirempuh pacuan empat roda hingga meragut nyawanya, Najihah Mohd Zuberi dikatakan sempat bercerita dengan ibunya mengenai satu kemalangan maut.

Remaja berusia 15 tahun itu bercerita mengenai mangsa kemalangan berkenaan yang didakwanya patah leher dan meninggal dunia serta-merta.

Saidah Zakaria, 43, berkata, Najihah bersungguh-sungguh menceritakan insiden itu sebelum dia kemudiannya keluar menunggang motosikal untuk ke kedai.

“Dia cakap ‘ibu dekat situ ada kemalangan, kena langgar dengan kereta, habis patah riuk lehernya, meninggal terus’.

“Bersungguh dia cerita hingga saya tidak sangka dia akan mengalami nasib serupa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pasir Mas (HPM).

Dalam kejadian 7 malam semalam, Najihah meninggal dunia selepas motosikal ditunggang dari arah Rantau Panjang ke Telaga Mas, Pasir Mas dirempuh pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Kejadian berlaku di laluan dekat Kampung Degong, Lubok Stol.

Menurut Saidah lagi, arwah adalah anak keempat daripada tujuh beradik, seorang yang baik dan rajin membantu keluarga.

“Arwah ramah dengan sesiapa pun dan jika ada kenduri di kampung ini, dialah yang paling teruja mahu membantu selain suka menjaga ahli keluarga yang sakit di hospital.

“Kini, tiada lagi baktinya buat kami dan saya sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Jenazah Najihah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan kemalangan itu dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 2:52pm
d