mutakhir

Eksekutif wanita mudah 'cuak' rugi RM123,486

Oleh Hassan Omar

AKIBAT terlalu takut apabila dikatakan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang eksekutif wanita kerugian RM123,486 selepas terpedaya dengan jerat sindiket Macau Scam.

Mangsa berusia 39 tahun yang bertugas di bandar raya Melaka terperangkap dalam jebak dipasang Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa waran tangkap sudah dikeluarkan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam laporan polis dibuat beberapa hari lalu, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada lelaki mengaku sebagai pegawai polis.

“Mangsa menerima panggilan bermula 11 Disember hingga 20 Disember lalu daripada beberapa nombor telefon iaitu 03-22741133, 00990884522 dan 011-6995351 yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Pemanggil mengugut mangsa dengan mendakwa waran tangkap sudah dikeluarkan ke atasnya atas kesalahan itu dengan menggunakan akaun sebuah bank dan Tabung Haji,” katanya di Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata, pemanggil meminta mangsa mengeluarkan wang berkenaan kononnya untuk siasatan dan memasukkannya ke dalam akaun dua bank.

Menurutnya, mangsa memasukkan wang berjumlah RM123,486.96 ke dalam akaun kedua-dua bank berkenaan secara berperingkat dari 20 Disember hingga 3 Januari lalu.

“Selepas dua minggu, mangsa cuba menghubungi nombor berkenaan, tetapi ia tiada dalam perkhidmatan dan membuat laporan polis selepas mengesyaki dia diperdaya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan disebat serta boleh dikenakan denda.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati apabila menerima panggilan telefon dan tidak mudah mempercayai dakwaan kononnya mereka terbabit dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 3:56pm
d