mutakhir

Pembenihan awan di Melaka gagal

Oleh Amir Mamat

OPERASI Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan dua hari di Melaka yang berakhir semalam tidak mencapai kejayaan seperti diharapkan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, keadaan itu menyebabkan kapasiti air di empangan termasuk di Durian Tunggal tidak menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, keadaan angin bertiup dari arah Timur Laut dan Timur yang kuat di setiap paras rendah dan tinggi menyebabkan usaha menghasilkan hujan gagal.

“Ditambah laluan angin di Melaka tidak menumpu menyebabkan kesukaran pembentukan awan hujan. Awan hujan berpotensi di kawasan Gemas kekal dan tidak bergerak seperti diramal.

“Walaupun ada hujan terutama pada Ahad lalu tetapi tidak mencapai sasaran kita.

“Bagaimanapun, kita akan meneruskan lagi OPA apabila keadaan mengizinkan atas nasihat Jabatan Meteorologi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahad lalu, kerajaan negeri melakukan OPA selama dua hari bagi menambah kapasiti air di empangan utama di Durian Tunggal.

Pesawat ringan jenis Cessna 340 A dari syarikat Afjet Sdn Bhd digunakan sepanjang operasi itu yang membabitkan dua juruterbang dan pembantu juruterbang serta masing-masing dua pegawai Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri dan pegawai Jabatan Meteorologi negeri.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 3:56pm
d