mutakhir

Makan sepinggan jadi kenangan terakhir

Oleh Zuhainy Zulkiffli

MAKAN sepinggan akan menjadi memori terakhir yang dikenang suami isteri ini selepas anak mereka meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer (KM) 13 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), hari ini.

Muhammad Amin Najmi Azaman, 19, meninggal dunia bersama sahabatnya, Muhamad Syaiful Hilmi Bin Rosidi, 21, selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta dipandu wanita dipercayai mabuk.

Bapanya Azaman Hashim, 49, berkata, dia dan isterinya makan sepinggan bersama arwah semalam, atas permintaan arwah sendiri.

“Ketika dia beritahu mahu makan sepinggan bersama saya dan ibunya, saya tidak mengesyaki apa-apa dan kami makan sambil berbual seperti biasa.

“Sebelum ini tak pernah kami makan begitu dan ini akan menjadi kenangan terakhir kami bersamanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Kepala Batas, hari ini.

Menurut Azaman, sebelum kejadian, anak kedua daripada lima beradik itu meminta izin daripada ibunya untuk keluar bersama rakan dan dia mengingatkannya supaya tidak pulang lewat kerana esoknya bekerja.

Katanya, arwah belajar di Kolej Vokasional Nibong Tebal namun bekerja sambilan sebagai juru pendawaian, selain arwah berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Azaman juga memberitahu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu berkenaan kerana cuai hingga menyebabkan kehilangan dua nyawa yang tidak bersalah.

Dia juga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang membahayakan pengguna jalan raya lain kerana dakwanya kejadian begitu kerap berlaku.

Jenazah mangsa yang dibedah siasat di Hospital Kuala Batas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Arifi.

Berita berkaitan

2 sahabat maut angkara pemandu mabuk

Pemandu mabuk direman empat hari

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 4:39pm
d