mutakhir

Hampir RM500,000 untuk padam api

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah membelanjakan lebih RM300,000 untuk kerja pemadaman api bagi tempoh 20 hari di tapak pelupusan sampah di Semeling, Sungai Petani.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kos itu membabitkan operasi pemadaman pada hari keempat sehingga hari ini.

Katanya, kos penggunaan helikopter Unit Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang dan Subang, Selangor sepanjang tiga hari untuk 11 jam penerbangan pula berjumlah RM165,000.

“Operasi pemadaman kebakaran di kawasan itu agak mencabar kerana mengambil masa yang lama berikutan banyak risiko perlu ditempuhi.

“Proses pemadaman itu seperti operasi memadam api di tanah gambut, cuma ia tiada tanah, sebaliknya dipenuhi timbunan sampah yang menyebabkannya polos dan terjerlus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan

JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufa’at Kamaron.

Dalam pada itu, Sayani berkata, sepanjang tempoh itu, tiga anggota dan seorang pegawai turut melecur dan mengalami kecederaan akibat operasi.

“Kita juga menyarankan kesemua anggota iaitu hampir 80 peratus yang terbabit dalam operasi pemadaman itu supaya menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengelakkan sebarang penyakit.

“Mereka terdedah dengan pelbagai cabaran termasuk toksid dan bahan kimia yang ada di tapak pelupusan sampah ketika melakukan operasi pemadaman,” katanya.

Dalam pada itu, Sayani turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lapan pengamal media iaitu Zuliaty Zulkiffli (Harian Metro), Safuri Kamarudin (Berita Harian) dan Azreen Hafifi Jamaludin (TV9).

Turut menerima sijil itu ialah Roshila Murni (Sinar Harian), Chong Aik Yik (Kwong Hwa Yit Poh), Noraini Ahmad (Bernama) serta dua wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 5:42pm
d