mutakhir

Tak dok kije mung...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir pencari besi buruk yang membakar tong sampah menyebabkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) rugi setiap tahun.

Tahun lalu sahaja MBKT menanggung kerugian lebih RM30,000 selepas 40 tong sampah yang sengaja dibakar golongan itu.

Malah, gambar kerosakan dimuat naik penduduk Kuala Terengganu ke Facebook hingga tular dan menerima pelbagai kritikan warganet.

Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata, lima tong sampah MBKT dibakar sejak Januari lalu.

“Tidak tahu apa motifnya tindakan itu tetapi melalui siasatan dan risikan, kami dapati perbuatan dilakukan segelintir pencari besi buruk yang tidak bertanggungjawab.

“Mereka ambil jalan mudah dengan membakar sampah di dalam tong supaya besi yang bercampur sampah senang diasingkan sebelum dijual,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata, bagi menampung kerosakan itu MBKT menukar tong sampah plastik kepada jenis besi dan 200 unit ditempah tahun ini dan ditempatkan di seluruh daerah.

“Kampung Mengabang Telipot antara kawasan yang kerap berlaku kejadian ini pada tahun lalu selain Kampung Kubang Buyong dan Kampung Bukit. Kita sudah membuat laporan polis,” katanya.

MBKT turut berharap orang ramai membantu dengan melaporkan kejadian untuk tindakan segera.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 6:19pm
d