mutakhir

Mesej itu palsu

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya terdapat 11 lelaki Filipina bersenjata di sebuah ladang di Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, perkara itu tular melalui WhatsApp beberapa hari lalu.

Menurutnya, ia tular dalam kalangan pekerja ladang di daerah berkenaan sebelum pihaknya menerima makluman awal.

“Susulan itu, polis menafikan kejadian terbabit. Itu adalah maklumat palsu.

“Tiada sebarang kejadian kemasukan 11 orang warga Filipina bersenjata dari Lahad Datu ke kawasan ladang sekitar Beluran.

“Kami menasihatkan orang awam supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di talian 089-511222 untuk membuat semakan ataupun pengesahan sebarang maklumat yang tular,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Harian Metro difahamkan tiada laporan rasmi berhubung kejadian itu diterima polis sebaliknya pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan mesej itu terus ditularkan.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 6:57pm
d