mutakhir

Bersungguh sembunyi tapi gagal

Oleh Zaid Salim

BELUM pasti terselamat meskipun bersembunyi di tingkat 33.

Begitulah kesungguhan anggota Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu yang sanggup memanjat tangga bangunan milik kerajaan negeri berhampiran jambatan angkat yang masih dalam pembinaan bagi ‘memburu’ pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain menyorok dalam tandas dan celahan dinding dan bumbung bangunan, ada PATI yang sanggup menggadai nyawa menjadikan bilik suis elektrik sebagai tempat bersembunyi bagi mengelak ditahan penguat kuasa yang membuat serbuan jam 9 pagi semalam.

Dalam operasi selama lima jam itu, seramai 38 pekerja warga asing diperiksa dan 25 daripada mereka berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan kerana melanggar akta dan peraturan Imigresen.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu, Malek Zaliman Deraman berkata, operasi diketuai Ketua Penguat Kuasa Mohd Muda bersama 16 anggota berakhir jam 2 petang.

“PATI yang ditahan membabitkan warga Pakistan seramai 12 orang, Bangladesh seramai 11 orang dan dua Indonesia.

“Seramai 19 daripada mereka disiasat mengikut Perkara 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna permit, lima disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan pengenalan diri serta seorang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.

Malek Zaliman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 12:13am
d