mutakhir

Ibu bapa lalai, anak jadi mangsa

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KELALAIAN pasangan yang tidak mendaftar atau mengesahkan perkahwinan di dalam negara menyebabkan Kedah mencatatkan antara jumlah teramai anak tidak sah taraf.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, keadaan itu menyebabkan anak pasangan terbabit sukar melanjutkan pelajaran sekali gus menjadi penyumbang kepada masalah keciciran sekolah.

“Saya pernah melawat kedutaan kita di Songkla, Thailand sebelum ini, memang terdapat banyak laporan perkahwinan rakyat kita di sana setiap hari.

“Sepatutnya mereka hanya kembali ke sini dan membuat permohonan untuk mendaftar tetapi lalai.

“Apabila anak hendak masuk sekolah, barulah mereka sedar ia rumit kerana anak tidak mempunyai MyKID,” katanya.

Halimaton berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyerahkan bantuan kepada sebuah keluarga yang tinggal dalam pondok usang di Kampung Belukar dekat Telaga Mas, Alor Setar, semalam.

Mengulas lanjut Halimaton berkata, pihaknya akan mencari mekanisma terbaik untuk menyelesaikan isu itu termasuk berjumpa dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengumpul data mengenai kanak-kanak yang keciciran sekolah, dan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta KDN untuk menyelesaikan isu terbabit.

“Kita kena tengok peraturan, tak boleh sewenang-wenangnya beri kerakyatan kepada mereka, kita perlu kenal pasti adakah mereka orang sini atau warga asing yang menetap di sini, jadi kita kena semak data berkaitan.

“Contohnya kalau betul pasangan itu tinggal di kampung berkenaan, kita akan dapatkan pengesahan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penghulu kawasan.

“Selepas itu barulah JKM akan bantu anak kepada pasangan itu untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 10:30am
d