mutakhir

Warga emas maut di siar kaki

Oleh Abdul Rahemang Taiming

LELAKI warga emas ditemui sudah tidak bernyawa dipercayai akibat masalah kesihatan di kawasan siar kaki sebuah hotel di Jalan Haji Karim, dekat Tawau, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai T Ramalingam, 81, ditemui orang ramai pada jam 10.30 malam, sebelum mereka menghubungi polis.

Alamat terakhir mangsa adalah di Southern Park, Klang Selangor.

Saksi kejadian, Japarudin Bacho, 45, yang juga pemandu teksi berkata, mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terbaring ketika dia sedang menunggu penumpang berhampiran hotel berkenaan.

“Lelaki itu dikatakan terjatuh secara tiba-tiba ketika melalui kawasan berkenaan sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Tidak lama selepas itu, kelihatan sepasukan anggota polis tiba dan memasang pita keselamatan sebelum mayat mangsa dibawa menggunakan lori polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa mati akibat masalah kesihatan namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 10:49am
d