mutakhir

Unit menyelamat dalam gua perlu ditubuhkan [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis mengakui satu unit khas menyelamat di dalam gua dan tebing tinggi amat diperlukan di negeri ini.

Pengarah JBPM Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB1) Ruhisha Haris berkata, ketika ini pasukannya tidak mempunyai unit formal khusus bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam gua atau di puncak gunung.

Katanya, mengambil kira kejadian menimpa 13 remaja dari pasukan bola sepak bawah 16 tahun di Thailand yang terperangkap di dalam gua pada 2018, pihaknya berharap unit khas operasi menyelamat di dalam gua dapat ditubuhkan di negeri itu.

“Kita memang memerlukannya (unit ini) berikutan faktor muka bumi di negeri ini yang berbukit, bergunung dan bergua, disamping ada aktiviti luar yang sering dijalankan oleh orang awam di kawasan berkenaan.

“Setakat ini kita belum ada pasukan atau unit yang formal, sekiranya berlaku kemalangan atau insiden di gunung, sememangnya pasukan bomba yang terkehadapan dalam operasi menyelamat.

“Jadi melalui unit atau pasukan khas ini, sekurang-kurangnya risiko boleh dikurangkan melalui pengetahuan formal oleh unit berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Latihan Menyelamat di Gua Kelam, semalam.

Program berlangsung tiga hari itu membabitkan 30 pegawai dan anggota bomba menjalani kursus menyelamat di gunung dan gua.

Ia diketuai Komandan Akademi dan Menyelamat Malaysia, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Abdul Khair Osman.

Mengulas lanjut, Ruhisha berkata, pihaknya kini sedang mengusahakan kewujudan unit berkenaan di Perlis khususnya di Padang Besar memandangkan mereka sudah menerima kes kemalangan di gunung dan gua tahun lalu.

“Tahun lalu kita ada enam kes kemalangan di gunung dan gua, walaupun tidak serius, keperluan itu sudah ada.

“Kita tidak minta perkara buruk berlaku, namun sekurang-kurangnya kita sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 11:38am
d