mutakhir

3 nelayan dilaporkan hilang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIGA nelayan dilaporkan hilang di perairan Teluk Bahang, dekat Balik Pulau selepas keluar menangkap ikan, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, mereka dilaporkan hilang di kedudukan 8.0 batu nautika utara Muka Head.

“Tiga nelayan terbabit ialah Muhamad Asmandi Awang, 32; Mohamad Shapie Ismail, 54’ dan warga Thailand, Ma-Useng Mama, 40.

“Bot berkenaan berpangkalan di Tanjung Dawai, Kedah.

“Mereka dikhuatiri hilang selepas bot yang mereka naiki itu mengalami kerosakan enjin,” katanya dalam kenyataan di Balik Pulau, hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan, 12.05 malam tadi.

Ia turut membabitkan APMM Pulau Pinang dan Pasukan Polis Marin Batu Uban.

“Turut membantu dalam operasi ini adalah sukarelawan lima bot nelayan dari Tanjung Dawai,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 11:51am
d