mutakhir

Ops Gasak laut tahan 14 PATI

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SERAMAI 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Gasak Laut yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di kawasan Kampung Gelam dan sekitarnya, semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi yang bermula 12 tengah malam itu memeriksa seramai 103 individu.

Menurutnya, selepas dirujuk untuk tapisan kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia, seramai 14 orang disyaki PATI ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua PATI yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh wanita yang berumur antara lima hingga 50 tahun itu kemudiannya dibawa ke pusat tahanan sementara (PTS) Sandakan untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63“, katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hazani berkata, dalam masa sama ops itu bertujuan untuk mengekang kemasukan dan kewujudan PATI yang disyaki menjadi tali barut kepada kumpulan Kidnapping For Ransom (KFRG).

“Terutamanya di kawasan-kawasan titik panas termasuk perkampungan setinggan atas air yang sentiasa dijadikan ‘staging points’ selain menjadi tempat persembunyian penjenayah.

“Operasi ini juga bertujuan untuk menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan bagi mewujudkan elemen cegah rintang di kawasan berkenaan,” katanya.

Hazani berkata, ESSCOM akan memperhebatkan lagi operasi gasak pada masa-masa akan datang dalam usaha untuk memburu saki baki tali barut KFR disamping meneutralkan kawasan panas daripada sebarang unsur jenayah.

“Sekiranya operasi-operasi seumpama ini tidak dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan titik panas dan kawasan tertentu yang disyaki menjadi tempat kegiatan dan persembunyian penjenayah, dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara jika tidak ditangani dan dibendung secara lebih cekap dan berkesan.

“Beberapa ancaman yang dikenal pasti dan sering berlaku di kawasan panas di pantai timur Sabah perlu ditangani secara berkesan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan hidup di kawasan ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 3:01pm
d