mutakhir

PGA gagalkan cubaan seludup burung

Oleh Melvin Joni

SEBUAH rumah kongsi di dalam ladang kelapa sawit di Sri Aman dekat Sibu, dipercayai menjadi pusat pengumpulan sindiket memperdagangkan haiwan dilindungi undang-undang sebelum diseludup ke negara jiran.

Kegiatan itu terbongkar selepas anggota Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Imigresen melakukan serbuan kira-kira 5 petang Isnin lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu, Superintendan Sanudin Md Isa berkata, pihaknya menyelamatkan 17 burung murai dan dua burung tiong dalam serbuan itu.

“Ketika serbuan, rumah kongsi berkenaan tidak berpenghuni dan nilai pasaran semua haiwan yang diselamatkan itu dianggarkan RM15,200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menjadikan rumah kongsi yang terletak di ladang kelapa sawit sebagai tempat pengumpulan pelbagai jenis haiwan terlindung sebelum dijual kepada orang tengah untuk dipasarkan ke negara jiran.

Sanudin berkata, semua burung terbabit dirampas mengikut Seksyen 29 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Katanya, semua haiwan itu diserahkan kepada SFC untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 3:02pm
d