mutakhir

Dua kapal tangki ditahan

Oleh Omar Ahmad

DUA kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) di perairan Johor Timur di Kota Tinggi, semalam.

Pengarah APMM ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kedua-dua kapal terbabit dikesan sedang merapat antara satu sama lain oleh kapal peronda APMM di kedudukan 3.5 batu nautika Selatan Tanjung Penyusop pada 3.30 petang.

Katanya, pemeriksaan mendapati sebuah kapal dikendalikan 11 lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 54 tahun.

Sementara, sebuah lagi dikendalikan empat lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 28 hingga 41 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal yang berdaftar di Mongolia itu melakukan kesalahan mengikut bawah Seksyen 49(3) Akta Kastam 1967 kerana merapat tanpa kebenaran Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Seksyen 72 (2) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana kru tidak mencukupi seperti Safe Manning Certificate.

“Dua kapal tangki itu juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(L) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa pemakluman/kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia dan Seksyen 361(6) OPS 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen insurans,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Zulfadli berkata, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 49(3) Akta Kastam 1967.

Selain itu, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 491B(L) OPS 1952.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 72(2) OPS 1952, boleh didenda sehingga RM100,000 dan Seksyen 361(6) OPS 1952 boleh didenda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM500,000.

“APMM sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan akan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Katanya, APMM menasihatkan pengusaha atau pemilik kapal untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia.

“Mereka juga perlu mengikut peraturan untuk sebarang aktiviti demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 3:04pm
d