mutakhir

Pembenihan awan ketiga untuk tadahan air

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEDAH berhasrat melakukan pembenihan awan ketiga dan berharap mendapat bantuan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Zamri Yusuf berkata, kerajaan negeri sudah memohon dengan Kerajaan Persekutuan untuk proses itu.

Katanya, pembenihan awan berkenaan penting untuk menggalakkan hujan di kawasan tadahan bagi mengelak paras air di tiga empangan utama negeri terus susut.

Empangan itu ialah Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning.

“Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan akan bermula pada hujung Mac dan kita sedang kawal pelepasan air supaya ia mencukupi sehingga April nanti.

“Cuma kita bimbang jika ramalan itu tidak tepat, sebab itulah kita perlu lakukan pembenihan awan lagi bagi meningkatkan paras air di empangan,

“Kita ada bukti menunjukkan paras empangan semakin susut dan tidak berlaku peningkatan walaupun hujan kelmarin,” katanya ditemui selepas merasmikan Jelajah Peluasan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Majlis Penyampaian Faedah PERKESO di Wisma PERKESO, Alor Setar hari ini.

Mengulas lanjut Zamri berkata, kos bagi pembenihan awan menggunakan helikopter kira-kira RM80,000, lebih mahal berbanding RM20,000 ke RM30,000 kaedah biasa.

Dalam pada itu, katanya, sudah sampai masanya kerajaan negeri mencari kaedah pengurusan air yang lebih baik berikutan ada kajian menunjukkan taburan hujan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis akan berkurangan dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 3:28pm
d