mutakhir

Dua beradik OKU aktif qasidah

Oleh Nazri Abu Bakar

WALAUPUN cacat fizikal dan sukar berkomunikasi, ia bukan halangan buat dua beradik orang kurang upaya (OKU), Budi Razali dan adiknya, Sofi aktif menyertai kumpulan qasidah Darul Musthofa, Teluk Mas, Melaka.

Malah walaupun mengalami kesukaran berinteraksi, latihan diberikan membolehkan Budi, 27, dan Sofi, 20, mampu turut serta berselawat dan berqasidah di khalayak ramai.

Tenaga pengajar pusat pengajian terbabit, Mohd Haslam Al Hafiz Salam, 30, berkata dia menemui dua beradik terbabit di tepi jalan di kawasan Malim, lebih setahun lalu.

Katanya, dia kasihan melihat keadaan mereka tidak menentu dan akhirnya dapat mengesan keluarga mereka dan meminta izin untuk mendidik Budi dan Sofi di pusat berkenaan.

“Alhamdulillah keluarga mereka memberi keizinan, tambahan pendapatan bapa mereka sebagai tukang urut tidak menentu sementara ibunya tidak bekerja.

“Di sini mereka dapat mengikuti sesi pengajian agama, membaca al-Quran, berselawat dan menyertai kumpulan qasidah,” katanya.

Beliau berkata, kehidupan mereka lebih terisi, teratur malah bakat yang ada dapat dibentuk dan diketengahkan.

Menurutnya, di pusat berkenaan, dua beradik itu dapat bergaul dengan lebih ramai rakan, sekali gus memperoleh pendedahan positif terutama untuk berkomunikasi dan berdikari mengurus diri.

“Malah mereka dilihat lebih berkeyakinan dan positif dalam banyak perkara berbanding sebelumnya.

“Pusat tahfiz ini mempunyai 28 pelajar termasuk anak yatim, OKU dan miskin, sekali gus dilhat sebagai alternatif pembentukan remaja berakhlak.

“Lebih membanggakan Budi dan Sofi juga sudah mampu menghafal beberapa surah termasuk surah Yasin, sekali gus mengisi ruang kerohanian mereka,” katanya.

Sementara itu, Budi berkata, dia gembira dapat menyertai kumpulan berkenaan dan dapat mempelajari ilmu agama.

Katanya, sokongan ustaz dan rakan memberi kekuatan kepada dia dan adiknya untuk terus belajar dan berbakti kepada bangsa dan agama.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 3:33pm
d