mutakhir

Pembenihan awan bergantung kepada cuaca

Oleh Hassan Omar

OPERASI Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan hujan di Melaka akan diteruskan, tetapi bergantung kepada pelbagai faktor terutama cuaca dan beberapa aspek lain yang memerlukan ia segera dilaksanakan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan OPA dan ia bergantung kepada keadaan cuaca, tiupan angin dan seumpamanya bagi membantu proses penghasilan hujan terutama di Empangan Durian Tunggal.

“Kita lihat kalau ada kesesuaian, kita akan buat lagi OPA dan ia adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan semula paras air dalam empangan itu.

“Alhamdulillah, pada hari pertama kita buat OPA, ada hujan tetapi bukan di kawasan tadahan hujan atau sekitar empangan itu,” katanya ketika ditemui meninjau lokasi cadangan pembinaan Empangan Jerneh dan sumber air di sekitar Sungai Rembau dan Sungai Linggi di Lubok Cina, Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Datuk Halim Bachik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Adly menghabiskan kira-kira tiga jam meninjau lokasi berkenaan bagi mengenal pasti pelbagai aspek berkaitan dengan usaha meningkatkan sumber air di Melaka, terutama hal mengenai penyaluran air dari beberapa sungai di Negeri Sembilan ke empangan berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri ingin memastikan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, mempunyai sumber bekalan air dari Sungai Rembau dan Sungai Linggi.

OPA yang dilaksanakan selama dua hari di Melaka mulai Ahad lalu gagal mencapai hasil seperti diharapkan berikutan angin kuat dari timur laut dan timur.

Ia menyebabkan pembentukan awan mengandungi air menjadi sukar manakala awan berpotensi membolehkan hujan yang berkumpul di Gemas, Negeri Sembilan tidak bergerak ke Melaka.

Kekurangan air di Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin menyebabkan kerajaan negeri melaksanakan catuan air fasa pertama mulai 29 Januari lalu hingga 9 Februari lalu dan disambung dengan fasa kedua dari Isnin lalu hingga 29 Februari ini.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 3:44pm
d