mutakhir

'Gembira dapat pulangkan dompet orang'

Oleh Nazri Abu Bakar

“SAYA bersyukur dapat mengembalikan dompet kepada yang hak dan pemilik asalnya,” kata Mohamad Azri Abdul Razmi, 27, yang juga pekerja Menara Taming Sari (MTS) di pusat pelancongan Bandar Hilir, Melaka.

Menurutnya, dia terkejut menemui dompet berisi wang yang banyak ketika memeriksa kabin MTS pada 6.30 petang, minggu lalu.

Katanya, dia terus menyerahkan dompet mengandungi beberapa dokumen penting itu kepada pihak pengurusan menara berkenaan.

“Saya niat kerana Allah dan perlu jujur kepada diri serta semua menjadi asas yang penting ketika bekerja. Saya tidak mengharap sebarang balasan kerana semuanya diatur ketentuan Ilahi untuk membalasnya.

“Saya gembira pemiliknya dapat semula barangan mereka dengan keadaan baik dan tidak terusik,” katanya yang sudah lapan tahun bekerja di situ.

Malah, Mohamad Azri, berkesempatan bertemu dengan anak pemilik dompet itu, Melissa Shum yang kini menetap di Jerman.

Katanya, Melissa mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan pengurusan sehingga menemui semula dompet berkenaan.

“Kebiasaan setiap barang yang ditemui akan diserahkan kepada pengurusan dan pihak polis.

“Jika terdapat maklumat, kami turut menghubungi pemiliknya malah pernah mengirimkan barangan kepada pelanggan atas persetujuan mereka.

“Saya memang dilatih untuk tidak mengambil hak orang dan sebelum ini pernah menemui pelbagai barangan pelanggan dan menyerahkan kepada pengurusan,” katanya yang menetap di Duyong.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 3:45pm
d