mutakhir

Zahid tidak pernah serah laporan AGM dan audit

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah menfailkan laporan mesyuarat tahunan (AGM) dan laporan audit tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak penubuhannya pada 1997.

Setiausaha syarikat Yayasan Akalbudi, Mahinder Kaur Teja Singh, 64, mendedahkan bahawa Ahmad Zahid memintanya mengemas kini dokumen Yayasan Akalbudi kerana Yayasan Akalbudi tidak pernah mengemukakan dokumen itu kepada SSM.

Membacakan penyataan saksinya, Mahinder berkata beliau tidak boleh mengemas kini dokumen Yayasan Akalbudi kerana beliau tidak diserahkan dokumen yang lengkap.

Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata beliau mengenali Ahmad Zahid pada 1989 dan pada 1993 beliau dilantik sebagai setiausaha syarikat Measurement Sdn Bhd (milik Ahmad Zahid) seterusnya sebagai setiausaha syarikat Yayasan Akalbudi pada 2012.

“Pada tahun 2003 Ahmad Zahid ada meminta saya untuk mengemas kini dokumen Yayasan Akalbudi. Dari tahun 2003 hingga 2011 saya tidak boleh mengemas kini dokumen Yayasan Akalbudi kerana saya tidak diserahkan dokumen yang lengkap.

“Saya beberapa kali memaklumkan kepada Ahmad Zahid bahawa dokumen berkenaan perlu difailkan kepada SSM untuk dikemas kini,” katanya pada hari ke-14 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Mahinder berkata Ahmad Zahid memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan memberi dokumen berkenaan bagi tujuan itu, namun sehingga kini tidak menerimanya

Menurutnya, sejak memegang jawatan itu pada 2012, Yayasan Akalbudi juga tidak pernah mengadakan mesyuarat antara Lembaga Pemegang Amanah, AGM dan tidak ada membuat audit ke atas akaun miliknya.

“Saya juga tidak pernah dimaklumkan berhubung aktiviti Yayasan Akalbudi, laporan kewangan tidak pernah dibentangkan kepada saya untuk difailkan ke SSM dan tidak ada menghantar laporan audit kepada pihak SSM.

“Di bawah Akta Syarikat 1965, sesebuah syarikat harus mengadakan AGM pertama dalam masa 18 bulan selepas didaftarkan manakala AGM berikut hendaklah diadakan dalam masa 15 bulan daripada AGM sebelum itu,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Katanya, di bawah akta itu sesebuah syarikat harus menghantar laporan audit kepada SSM dalam masa 30 hari selepas AGM diadakan.

“Alamat berdaftar yayasan itu adalah seperti terdapat dalam maklumat syarikat, bagaimanapun saya tidak mengetahui sama ada alamat itu wujud atau tidak.

“Saya juga tidak pernah menerima sebarang pertanyaan daripada SSM berhubung Yayasan itu,” katanya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi bagaimana cara Ahmad Zahid memberi arahan kepadanya, Mahinder menjawab ia menerusi panggilan telefon dan berjumpa di pejabat beliau.

Ahmad Zahid, 67, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 6:28pm
d