mutakhir

Pandu sambil tekup luka tetakan

Oleh Rosli Ilham

MOHD Zukanain Abd Aziz yang meninggal dunia akibat ditetak rakannya, lelaki Indonesia, dikatakan sempat memandu sejauh dua kilometer sambil menekup luka tetakan di leher.

Buruh ladang berusia 39 tahun itu bersama isterinya Rosnah Mohamed, 34, kemudian dibantu pengawal keselamatan bertugas di pos pengawal tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang seterusnya membawa mereka ke Klinik Kesihatan Paka.

Menceritakan semula kejadian, Rosnah berkata, dalam keadaan berlumuran darah itu arwah suaminya nekad memandu untuk bantuan, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 3.30 pagi.

Manakala Rosnah pula menerima 30 jahitan di tangan.

“Kami mengenali lelaki Indonesia itu sejak empat tahun lalu kerana arwah suami dan dia bekerja di ladang yang terletak bersebelahan.

“Namun kami sudah lama tidak ke rumahnya sehinggalah 5 petang semalam, kami menziarahinya dan dia ada mengadu kesunyian, menyebabkan kami sepakat tidur di rumahnya.

“Selepas makan malam bersama, empat anak tidur di ruang tamu rumah manakala, saya, arwah suami dan anak bongsu tidur dalam kereta kerana rumah itu panas.

“Kira-kira 11 malam, kami nampak dia keluar sambil membawa parang seperti menebas lalang keliling rumah,” katanya yang ditemui di Hospital Dungun, hari ini.

Dakwanya, lelaki berkenaan menghampiri mereka dan kelihatan pelik, selain memaklumkan boleh berkomunikasi dengan makhluk halus, Tuhan dan dajal.

Melihatkan lelaki itu yang semakin pelik dan mula agresif, arwah suami menyuruh Rosnah mengejutkan semua anak, memasuki kereta dan berhasrat pulang.

“Arwah juga mengambil parang di but kereta kerana bimbangkan tindakan lelaki itu, namun dia pula ditetak dengan parang yang dirampas daripada tangannya,” katanya yang turut menahan tetakan itu dengan tangannya hingga cedera.

Jenazah Mohd Zukanain akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Santong, Paka.

Berita berkaitan

Suami maut ditetak, isteri cedera

Suami maut ditetak, isteri cedera

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 6:38pm
d