mutakhir

RM500,000 dalam 3 beg

Oleh Balqis Jazimah Zahari

CUBAAN tiga wanita menyeludup masuk mata wang Malaysia dan Thailand bernilai RM500,000 melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, dekat sini, gagal apabila ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Jumaat lalu.

Lebih licik, mereka mengisytihar barangan yang dibawa mengandungi makanan dan pakaian untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pengarahnya, Dr Mohamad Saprin berkata, mereka yang ditahan ialah seorang rakyat tempatan dan dua warga Thailand berusia 40 hingga 51 tahun.

Katanya, semua suspek dari Thailand dan dipercayai dalam perjalanan ke bahagian utara Malaysia.

“Antara yang dirampas adalah mata wang Malaysia dan Thailand dianggarkan bernilai RM500,000.

“Selain itu, kita turut menahan kereta Honda Accord nombor pendaftaran Thailand yang digunakan ketika membawa wang haram berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Ipoh di sini, semalam.

Mohamad berkata, ketika ditahan wang berkenaan disorok di dalam satu beg di tempat duduk hadapan dan dua lagi di dalam bonet kenderaan berkenaan.

“Pemandu dan penumpang mengisytiharkan barang di dalam beg yang disimpan di dalam kereta berkenaan adalah pakaian dan makanan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek masih direman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 28(B)(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 kerana gagal isytihar amaun yang melebihi AS$10,000 ketika memasuki Malaysia.

“Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman sepuluh kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mengikut amaun yang lebih besar.

“Dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000, yang mana satu amaun yang lebih besar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 10:17am
d