mutakhir

Cari mangsa di bank

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BERPURA-pura ada urusan di bank untuk mencari mangsa yang membuat pengeluaran wang banyak sebelum mengekori sasaran. Itu taktik sekumpulan penjenayah sebelum menyamun mangsa.

Suspek turut menggunakan teksi bagi mengelak disedari mangsa ketika mengekori sebelum sebuah Perodua Bezza datang dan menghalang kereta mangsa.

Penjenayah kemudian memecahkan cermin tingkap dengan parang dan membawa lari wang tunai.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, penjenayah terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 34 hingga 54 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan berasingan bermula 4 Februari hingga semalam.

Menurutnya, suspek terdiri dua lelaki Indonesia pemastautin tetap, lelaki tempatan, dua lelaki Indonesia dan seorang wanita Indonesia dikenali geng Banker Suria.

Beliau berkata, dalam kejadian terbaru, kumpulan itu menyamun wanita berusia 41 tahun pada 8 Januari lalu menyebabkan mangsa kerugian RM69,700.

“Mangsa disamun selepas mengeluarkan wang syarikat di sebuah bank di Bandar Baru, Sungai Buloh, sebelum didatangi tiga lelaki menaiki Perodua Bezza ketika berada di hadapan kilang di Jalan Utarid U5/14, Seksyen U5, Shah Alam.

“Dua suspek memecahkan cermin sebelah penumpang sebelum mangsa melawan dan menggigit tangannya,” katanya.

Shafa’aton berkata, suspek bagaimanapun mengacu parang dan merampas beg berisi wang tunai sebelum melarikan diri.

“Susulan itu, polis mengesan suspek dan melakukan lima serbuan di Batu Caves, Kampung Sungai Chincin, Kampung Sungai Choh, Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melawati dan stesen minyak di Batu 5, Jalan Gombak.

“Dalang utama seorang lelaki Indonesia yang mendapat pemastautin tetap berusia 54 tahun turut ditahan.

“Polis turut merampas telefon bimbit, beg, dua teksi, Perodua Bezza yang disewa, parang dan barangan lain,” katanya.

Beliau berkata, suspek aktif sejak 2015 sebelum berhenti seketika dan kembali menyamun tahun lalu yang mana siasatan berjaya menyelesaikan empat kes di sekitar Lembah Klang membabitkan kerugian RM154,700.

“Dua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Suspek direman sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, seorang suspek yang ditahan itu adalah lelaki yang ditembak di kaki oleh anggota polis di Batu 5, Gombak.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 12:50pm
d