mutakhir

4 bomba cedera padam kebakaran

Oleh Zuhainy Zulkiffli

EMPAT anggota bomba cedera ketika operasi memadamkan kebakaran tiga rumah kedai dua tingkat di Lebuh Carnavon, dekat Georgetown, malam tadi.

Seorang anggota bomba yang cedera daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan tiga daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar berkata, anggota terbabit cedera selepas ditimpa dinding bangunan runtuh.

Kesemua anggota dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan.

“Ketika sedang memadamkan kebakaran, bahagian tepi bangunan itu runtuh namun anggota terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan sudah dihantar ke hospital,” katanya kepada media di Georgetown.

Dalam kejadian itu, anggota bomba digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.58 malam dan kerja memadamkan kebakaran membabitkan 63 anggota dan pegawai.

Tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, Jalan Perak dan Bagan Jermal serta pasukan bomba sukarela berhampiran bergegas ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran itu.

Katanya, bomba juga berjaya mengawal api daripada terus merebak ke pusat penjagaan orang tua di bangunan yang terletak hanya enam meter dari lokasi kebakaran.

“Dengan bantuan orang ramai juga, kita berjaya memindahkan 73 warga emas dari rumah penjagaan berkenaan ke tempat lapang yang selamat.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Berita berkaitan:

  • Apa-apa pun selamatkan mereka dahulu... [METROTV]
  • Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 1:42pm
    d