mutakhir

Air Sungai Golok paras berjaga-jaga [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

PARAS air sungai Golok di Rantau Panjang sudah melebihi paras berjaga-jaga akibat hujan sejak beberapa hari lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 11.30 pagi, paras air Sungai Golok pada bacaan 7.16 meter sekali gus melepasi paras berjaga-jaga iaitu tujuh meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan cuaca tidak menentu.

“Namun, keadaan di sini masih terkawal biarpun hujan setiap hari sejak kebelakangan ini. Hasil tinjauan juga belum ada kawasan ditenggelami air.

“Biasanya, kawasan rendah yang terawal dinaiki air di kawasan ini seperti di Kampung Lanchang, Kampung Jejawi, Kampung Putat Tujuh dan Kampung Tasek Bakong.

“Penduduk diminta sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal mengemas dan menyimpan dokumen penting bagi menghadapi banjir,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Imran berkata, di Sungai Golok paras air berjaga-jaga ialah tujuh meter manakala paras amaran lapan meter dan bahaya pada paras sembilan meter.

Katanya, jika paras air Sungai Golok sudah mencapai 10.4 meter, penduduk akan diarahkan berpindah ke tempat lebih selamat.

“Keadaan cuaca yang mendung dan hujan lebat tanpa henti boleh meningkatkan lagi paras air sungai dan menyebabkan limpahan dan banjir pada bila-bila masa.

“Masyarakat dinasihatkan sentiasa peka dengan paras air melalui platform boleh dipercayai bagi mengelak maklumat tidak sahih,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 1:52pm
d